Oleh: Yeop Abdul Rahman Hashim.
|
Rumah peninggalan Yeop Majlis, di Lambor Kanann |
Dalam melayani keboringan PKP Covid-19, saya titipkan ceghite ini yg dipetik dari posting FB Naharuddin Rashid, yg tersiar ke udara di radio Klasik Nasional pada 23 Mei 2011.
Mungkin ada di kalangan warga Yeop Majlis yg boleh berkongsi kenangan ini.
Terkenang-kenang - CEGHITE KENTUT DI LAMBO
Ini cerita tentang kentut di rumah allahyarham datuk aku di Kg Lambor Kanan, Parit. Once upon the time; Tempat : Rumah tok Hj Yeop Majelis, Lambor Kanan, Parit.
Malam Hari Raya Ke 2. Biasalah rumah Tok penuh oleh anak cucu Tok. Yang jauh dan dekat balik beraya di rumah Tok. Tapi malam itu special betul. Anak-anak tok berkumpul Hari Raya sekaligus adakan mesyuarat menubuhkan syarikat keluarga mereka – Syarikat Keluarga Majlis. Pakcik Ya sekeluarga turun dari Cameron Highland – Kamahelan; loghat orang kampong aku. Dari Tepen (Taipeng) Pakcik Yan sekeluarga.
Pak E sekeluarga dari Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) juga balik, Pak Yang Bakar juga dari Teluk Anson. Pak Nyah Salleh – askar; kali ini dia dapat cuti lama, baru balik dari Brunei. Dia bawak banyak gambar anak-anak dara dan emak dara Iban Sarawak – “lawa dak Yang”; kata Pak Nyah Salleh bertanya kepada emak aku. Yang ialah panggilan manja Pak Nyah Salleh kepada kakaknya, emak aku tu. Arwah mak tak bagi kami tengok gambar itu.
Arwah abah dan kami sekeluarga dari Teluk Sareh. Ayah Cik pun ade. Dia baru kahwin, tinggal di Bota.
Usai mesyuarat, semua sudah ngantuk. Lampu geslin sudah dipadamkan di ganti dengan lampu cemeni berleher panjang tersangkut di tiang seri antara ruang tengah, rumah anjung dan serambi. Remang-remang cahayanya menebar malap ke segenap ruang. Yang lelaki ambil tempat di bahagian anjung rumah.
Ruang anjung rumah itu baru diperbesarkan Tok tatkala hendak kahwinkan Ayah Cik.
Abah tak tidur di Lambur – lepas mesyuarat abah balik berbasikal ke Teluk Sareh. Anak menantu tok yang perempuan; arwah emak aku ambil tempat di serambi dekat Opah Cik – isteri nombor dua tok. Makcik Sabariah, wan kecik Ba’i, makcik Sihah bersapa di ruang tengah.
Tengah malam dah lepas. Seisi rumah tu belum lagi semua tidur. Yang dah tidur pun, belum lena betul. Kami anak-cucu tok yang kecik-kecik sudah lena belaka di serambi. Ada yang kain selimut terselak hingga ke dada. Ada yang terbogel punggungnya menungging ke perut atap gelap. Ada yang kainnya membungkus muka. Yang seorang menyelapak seorang yang lain – udah entah berapa kali beralih tidur. Entah ! Ade yang mengunyah-ngunyah gigi – mengerenyit-gerenyit bunyinya.
Pak Nyah Salleh sesekali menyampuk sayup-sayup bualan Pakcik Asin dengan Pakcik Yan yang sesekali terkekek-kekek; ketawa tak lepas. Pakcik Asin dengan birasnya, Pakcik Yan tu memang sesuai benar. Mereka itu menantu tok. Pakcik Asin; isterinya Wan Kecik Ba’i. Pakcik Yan; isteri dia Mak Cik Sabariah. Pak Acik Asin berbahasa dengan Pakcik Yan, abang Yan. Pakcik Yan membahasakan Pakacik Asin Adik Asin.
Suasana makin sepi. Senyap. Tenang dan sayu. Sesekali tedengar bunyi burung jampuk di pohon ciku tepi rumah berselang-seli sayup-sayup bunyi burung tukang dari kampung seberang – mengerutup, menukang rumah yang tak pernah siap. Dan bermulalah pesta itu…
... Tak tahulah, entah siapa yang mulakannya. "Ha; dah mula, dah... !" Getus Opah Cik. Rupa-rupanya Opah Cik belum tidur lagi; dia masih bercerita – ngok-ngek, ngok-ngek entah apa-apa dengan emak.
…"Laailahaillallaah !!" kata Opah Cik. Agak tinggi suara Opah Cik. Tak tahulah; mungkin gulai lemak nangka muda; menu makanan sebelum mesyuarat lepas Isya tadi sudah mula mengumpul angin dalam usus masing-masing.
"Tuuut !!"
………"Tut !"
……………."Tit ?"
…."Piiit !!!?"
…… “Pooot !!!
…………………."BOOOT !!." "LAAILAHAILLALLAAH, KUATNYA….. !!!" kata opah cik.
Entah siapalah yang punya tu. Kalau ikut bawaan kelakarnya, yang bunyi tersepit "Piiit !!!?" itu Pak Nyah Sallehlah, tu. Yang "Pooot !!!", tu ? Ha, itu Pak Cik Ya.
"BOOOT !!!” – macam bunyi serombong kapal pecah hingga terasa bergegar lantai papan rumah itu ? Pak E le, tu.
Yang lain-lain tu entah siapalah agaknya – antara Pak Cik Asin, Pak Yang Bakar atau Pakcik Yan. Ayah Cik rasanya bukan.
Kesemua watak yang disebutkan itu; kecuali Wan Kecik Ba’i, Pakcik Asin dan Pakcik Ya sudah arwah belaka. Pakcik Ya baru menyambut hari jadinya yang ke 76 baru-baru ini. Selamat hari jadi Pakcik semoga kekal sihat dan dapat terus beramal ibadat. Amin.
Dinbatubara,
Rawang, Selangor,
23hb. Mei 2011
(Tersiar di ADILA, Klasik Nasional)