Assalamualaikum

MENGENALI BLOG INI

My photo
Laman blog ini muncul sebagai galeri maklumat untuk menjadi tatapan seisi keluarga Allahyarham HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID yang berada di seluruh negara. Allahyarham Yeop Majlis merupakan seorang Mualim/Ulamak yang begitu dikenali terutamanya di negeri Perak. Semasa hayatnya beliau sering dijemput untuk menyampaikan siri pengajian/kuliah di beberapa buah masjid dan juga surau/madrasah di seluruh negeri Perak. Sebagai Guru Agama, Haji Yeop Majlis dihormati bukan sahaja di kampung halamannya di Lambor Kanan (Parit, Perak) malah meliputi daerah-daerah lain di negeri Perak Darul Ridzwan. Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usia 78 tahun. Allahyarham dikurniakan 29 orang anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri. Empayar keluarga Yeop Majlis kini kian membesar dengan pertambahan bilangan cucu dan cicit serta piutnya.

RAKAN SERUMPUN

Thursday, January 2, 2020

WARKAH BONDA YANG DINANTIKAN PELEPAS RINDU

Oleh: Yeop Abdul Rahman Hashim

Saya titipkan nukilan hati oleh Naharuddin Rashid, cucu Yeop Majlis yang begitu menyentuh perasaan.

Bonda Zainon Yeop Majlis, duduk di kiri sekali.

Ayahanda dan bonda kami...

Kira-kira tiga puluh lima tahun dahulu – Lepas SPM; aku mula bekerja di Kuala Lumpur. Pelepas rindu ke kampung adalah surat  Setiap suratku dibalas emak.  Aku gunting-cermat sampul-surat emak. Emak bahasakan diri bonda-anakanda.

Setelah mencoret doa agar aku sihat, dan menceritakan kesihatan abah dan emak sendiri, tentang abang dan adik-adik; emak pun beritahu; bingkisanku telah selamat diterima. Wang ala kadar dapatlah abah bayarkan hutang di kedai Wak Zari. Adik-adik pula suka benar dengan buku dan majalah terbaru yang kukirim. Emak ucap terima kasih. Sebak rasa hati untuk terima kata terima kasih dari emak.

Emak tulis lagi; sudah dua minggu matahari  tidak terbit. Hujan – kadang-kadang pagi; kadang-kadang petang. Ada kalanya sepanjang hari. Abah dan abang Nyah tidak dapat menoreh – batang getah basah. Dalam warkah yang lain emak cerita; air sungai melimpah. Padi yang baharu menguning, tenggelam-masam dek banjir.

Surat musim kemarau pula; emak beritahu :  Daun getah sudah kuning dan luruh. Abah tidak menoreh – susu tak ada. Atau, emak akan tulis :  Pokok getah sedang berpucuk-muda. Dalam dua minggu lagi baru abah boleh menoreh.  Insyaallah, susu akan bertambahlah sedikit; kata emak.

Kemarau menyebabkan air sungai surut dan cetek.  Orang kampung tua-muda turun ke sungai,  mengutip remis; boleh buat masak lemak.  Ada sebesen – kira-kira dua gantang yang dikutip abang Nyah semalam sedang direndam dalam 'periuk genting' di dapur (remis direndam semalaman supaya pasir-pasir yang tersimpan dalam cengkerangnya dimuntahkan). Emak tulis itu,  ikut gaya bahasa emak.

Iya; hujan dan kemarau; petaka yang amat mencekik kehidupan kami dan warga sekampung.  Bila ia tiba, anak ayam yang baru belajar berkokok pun atau telor; tidak  sempat diramkan – semua dijual. Ah Chong bermotorsikal dari Tanjung Tualang datang keliling-keliling kampung beli apa saja – anak ayam yang baru sebesar genggaman tangan, angsa, telor, bapa itek; semua dia terima.  Semua itu untuk secupak-dua beras, lapan tahil gula, empat tahil minyak kelapa dan sekeping-dua anak tamban masin.

Emak tulis semua itu.  Emak ambil bahagian tengah buku latihan adik.  Selalunya dua helai.  Kadang-kala emak tulis dalam tulisan jawi. Rindunya pada coretan emak.  Bagi aku, emak bukan tulis surat.  Tetapi bercerita.  Warkah emak yang kadang-kala ada bau minyak tanah. Pernah ada kesan tumpuk tumpahan minyak tanah dan kesan corengan arang dari sumbu pelita, pada helaian warkah emak – pastilah emak menulis di waktu malam.

Selalu juga tulisan emak sukar dibaca kerana terlalu banyak kesan dipadam – adakalanya hingga terkoyak tempat yang dipadam, apabila emak tulis dengan 'pen kaban' (pena mata bulat). Namun tulisan rumi, tulisan tangan emak, bagiku amat cantik – bukti emak pernah masuk sekolah sebelum perang Jepun.    Dan aku yakin bakat bercerita emak turun kepada adik perempuan ku; Am, yang telah banyak menghasilkan novel.

Suatu ketika aku menyimpan cermat semua surat emak; surat bersampul-surat cap kapal terbang berlakar biru merah sekeliling sampul.  Sayang, surat itu hilang entah bila; mungkin tatkala isteri atau anak-anakku mengemas bilik bacaan di rumah kami.

Namun ingatan kepada emak tetap terpahat-kuat di hati; bagai baru semalam aku terima warkah emak; meski sudah dua puluh lima tahun lebih emak pergi. Alfatihah.

Din Batubara
23hb. Sept.; 2010/ 14 Syawal 1431H
Tersiar di ADILA, Klasik Nasional
Penerbit : Norlia Ahma