Assalamualaikum

MENGENALI BLOG INI

My photo
Laman blog ini muncul sebagai galeri maklumat untuk menjadi tatapan seisi keluarga Allahyarham HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID yang berada di seluruh negara. Allahyarham Yeop Majlis merupakan seorang Mualim/Ulamak yang begitu dikenali terutamanya di negeri Perak. Semasa hayatnya beliau sering dijemput untuk menyampaikan siri pengajian/kuliah di beberapa buah masjid dan juga surau/madrasah di seluruh negeri Perak. Sebagai Guru Agama, Haji Yeop Majlis dihormati bukan sahaja di kampung halamannya di Lambor Kanan (Parit, Perak) malah meliputi daerah-daerah lain di negeri Perak Darul Ridzwan. Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usia 78 tahun. Allahyarham dikurniakan 29 orang anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri. Empayar keluarga Yeop Majlis kini kian membesar dengan pertambahan bilangan cucu dan cicit serta piutnya.

RAKAN SERUMPUN

Sunday, November 13, 2011

MENGENANG 32 TAHUN KEPERGIAN ALMARHUM TOK YEOP MAJLIS

Tribute Kenangan dari seorang cucu Yeop Majlis, Naharrashid.

Daghi jauh arwah encik (emak keme) udah tau itu tok. Arwah encik cam beno bunyi honda tok. Entah macam mane, entah - caghe tok mawak honda (muleh (memulas) minyak ?) dan stendet lajunye, nyebabkan bunyi khas - itu bunyi honda tok. Arwah encik memang kenei beno leh, itu tok.

Tak lama, ade oghang balik daghi kedei (Teluk Saghih) melinteh depan ghomah keme - dan ngabokan : "Tuan aji Yop Menjelih dah kulu; ngelebang je eko sobannye." katanye. "Ye.. ye .. terime kasih le !!" saut encik. Sebenonye encik pun udah nampak mase tok kulu tadi - mencuat aje eko sobannya menonyoh-nonyoh, mukoi muke opah cik yang tebonok di belakang tok. Ate ghomeh keme tu dengan jalan batu misahkannye, ban dengan due petak bendang je - dekat beno. Nampak keghete sape, moto ke, beh ke kulu keyo.

Lewat petang aghi tu sampei le Pak Hin ke, Pak Min atau Pak Hon bebasikei kelyo; magi tau : "Mak Acik ade dulu (di hulu)." katanye.

Mun kalu tak petang itu, pagi esoknye; encik akan kulu. Encik akan tido dengan opah cik di bilik (seghambi) belah kighi ghomah Lambo, tu. Lepeh Maghrib sambil nunggu Isya, Opah Cik dengan encik beceghite ngok-ngik, ngok-ngik anak beghanak.

dinbatubara

Thursday, November 10, 2011

YEOP MAJLIS (1901-1979), 32 TAHUN KEPERGIANNYA DI SISI ALLAH.

Oleh Abdul Rahman Hashim



ALFATIHAH.......hari ini 10 November 2011, genap 32 tahun Allahyarham Yeop Majlis kembali ke rahmatullah. Allahyarham telah pergi meninggalkan isteri-isteri, anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya pada tanggal 10 November 1979 ketika berusia 78 tahun. 

Kepergiannya merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada keluarga malah kepada setiap insan yang pernah menimba ilmu dan memanfaatkan ilmu yang ditinggalkan selama kembara beliau ke ceruk pelusuk masjid, surau dan juga madrasah di seluruh negeri Perak pada masa hayatnya.

Jenazah ulamak terkemuka ini telah disemadikan buat selama-lamanya di tanah perkuburan Kampung Talang, Lambor Kanan, Parit, Perak. Kepada sanak saudara sekelian, marilah kita sedekahkannya dengan ummul kitab Surah Al-Fatihah dan mendoakan agar rohnya sentiasa mendapat rahmat Allah azza wajalla.

Tuesday, November 8, 2011

DEMI ALLAH! AKU TAK PERNAH NAMPAK IBU BERBOHONG!!

Petikan dari dinding facebook Jamil Majlis, bertarikh 2 November 2011.
Ku titipkan coretan Naharrashid @ dinbatubara, cucu Yeop Majlis ini, untuk bacaan bersama ... mengusik rasa..
Kira-kira tiga puluh lima tahun dahulu – Lepas SPM; aku mula bekerja di Kuala Lumpur. Pelepas rindu ke kampung adalah surat Setiap suratku dibalas ibu. Aku gunting-cermat sampul-surat ibu. Ibu bahasakan diri bonda-anakanda. Setelah mencoret doa agar aku sihat, dan menceritakan kesihatan ayah dan ibu sendiri, tentang abang dan adik-adik; ibu pun beritahu; bingkisanku telah selamat diterima. Wang ala kadar dapatlah ayah bayarkan hutang di kedai Wak Zari. Adik-adik pula suka benar dengan buku dan majalah terbaru yang kukirim. Ibu ucap terima kasih. Sebak rasa hati untuk terima kata terima kasih dari ibu.
Zainon Yeop Majlis (Berdiri di tengah), bonda kepada Naharrashid
Ibu tulis lagi; sudah dua minggu matahari tidak terbit. Hujan – kadang-kadang pagi; kadang-kadang petang. Ada kalanya sepanjang hari. Ayah dan abang tidak dapat menoreh – batang getah basah. Dalam warkah lain ibu cerita; air sungai melimpah. Padi yang baharu menguning, tenggelam-masam dek banjir.
Surat musim kemarau pula; ibu beritahu : Daun getah kuning dan luruh. Ayah tidak menoreh – susu tak ada. Atau, ibu akan tulis : Pokok getah sedang berpucuk-muda. Dalam dua minggu lagi baru ayah boleh menoreh. Insyaallah; susu akan bertambahlah sedikit; kata ibu.
Kemarau menyebabkan air sungai surut dan cetek. Orang kampung tua-muda turun ke sungai, mengutip remis; boleh buat masak lemak. Ada sebesen kira-kira dua gantang yang dikutip abang semalam sedang direndam dalam 'periuk genting' di dapur (remis ditrendam semalaman supaya pasir-pasir yang tersimpan dalam cengkerangnya dimuntahkan). Ibu tulis itu, ikut gaya bahasa ibu.
Iya; hujan dan kemarau; petaka yang amat mencekik kehidupan kami; dan warga sekampung. Bila ia tiba; anak ayam yang baru belajar berkokok pun; atau telor, tidak sempat diramkan – semua dijual. Ah Chong bermotorsikal dari Tanjung Tualang datang keliling-keliling kampung beli apa saja – anak ayam yang baru sebesar genggaman tangan, angsa, telor, bapa itek; semua dia terima. Semua itu untuk secupak-dua beras, lapan tahil gula, empat tahil minyak kelapa dan sekeping-dua anak tamban masin.
Ibu tulis semua itu. Ibu ambil bahagian tengah buku latihan adik. Selalunya dua helai. Kadang-kala ibu tulis dalam tulisan jawi.
Rindunya pada coretan ibu. Bagi aku, ibu bukan tulis surat. Tetapi bercerita - warkah ibu yang kadang-kala ada bau minyak tanah. Dan pernah ada kesan tumpuk tumpahan minyak tanah dan kesan corengan arang dari sumbu pelita, pada helaian warkah ibu – pastilah ibu menulis di waktu malam.
Selalu juga tulisan ibu sukar dibaca kerana terlalu banyak kesan dipadam – adakalanya hingga terkoyak tempat yang dipadam, apabila ibu tulis dengan 'pen kaban' (pena mata bulat). Namun tulisan rumi, tulisan tangan ibu, bagiku amat cantik – bukti ibu pernah masuk sekolah sebelum perang Jepun. Dan aku yakin bakat bercerita ibu turun kepada adik perempuan ku; Am, yang telah banyak menghasilkan novel.
Suatu ketika aku menyimpan cermat semua surat ibu - surat bersampul surat cap kapal terbang berlakar biru merah sekeliling sampul. Sayang, surat itu hilang entah bila; mungkin tatkala isteri atau anak-anakku mengemas bilik bacaan di rumah kami. Namun ingatan kepada ibu tetap terpahat-kuat di hati; bagai baru semalam aku terima warkah ibu; meski sudah dua puluh tahun lima tahun lebih ibu pergi. Alfatihah.
Notakaki : Demi Allah. aku tidak pernah nampak ibu berbohong. Aku malah tidak pernah merasakan/terfikir ibu berbohong.