Assalamualaikum

MENGENALI BLOG INI

My photo
Laman blog ini muncul sebagai galeri maklumat untuk menjadi tatapan seisi keluarga Allahyarham HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID yang berada di seluruh negara. Allahyarham Yeop Majlis merupakan seorang Mualim/Ulamak yang begitu dikenali terutamanya di negeri Perak. Semasa hayatnya beliau sering dijemput untuk menyampaikan siri pengajian/kuliah di beberapa buah masjid dan juga surau/madrasah di seluruh negeri Perak. Sebagai Guru Agama, Haji Yeop Majlis dihormati bukan sahaja di kampung halamannya di Lambor Kanan (Parit, Perak) malah meliputi daerah-daerah lain di negeri Perak Darul Ridzwan. Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usia 78 tahun. Allahyarham dikurniakan 29 orang anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri. Empayar keluarga Yeop Majlis kini kian membesar dengan pertambahan bilangan cucu dan cicit serta piutnya.

RAKAN SERUMPUN

Sunday, November 28, 2010

LAGENDA IKAN TAPAH KAITANNYA DENGAN PAK KADUK

Oleh Abdul Rahman Hashim (emel: rumpunmajlis@gmail.com)   

Ikan Tapah. Keturunan Pak Kaduk tak boleh makan ikan ini?
Ikan tapah satu-satunya spesis ikan yang amat sensitif bagi kebanyakan orang Lambor. Sebut sahaja Lambor, mesti terkait dengan Ikan Tapah. Warga Lambor dikatakan tidak boleh memakan ikan ini. Tidak jelas berapa keturunan Pak Kaduk yang tidak boleh makan ikan ini. Ada pendapat mengatakan tujuh keturunan Pak Kaduk tak boleh makan ikan tapah ini. Persoalannya ialah apakah generasi hari ini sudah melampaui edah yang disebutkan itu?

Oleh kerana rumpun keluarga Yeop Majlis ini berasal dari Lambor Kanan, tentunya kita juga terkait sebagai sebahagian daripada keturunan Pak Kaduk yang tidak boleh memakan ikan tapah. Benarkah keturunan Yeop Majlis hari ini masih terbelengu dengan sumpahan Pak Kaduk itu? 

Jika merujuk kenyataan anaknya Salihun Yeop Majlis (Foto kiri) di dalam facebooknya, beliau sudah pun termakan pekasam Ikan Tapah ini di Kuala Kangsar, namun sehingga sekarang tidak terdapat apa-apa kesan yang memudaratkan dirinya. 

Begitu juga dengan seorang lagi anaknya Jamaluddin Yeop Majlis (Foto kanan), beliau tidak mengalami kemudaratan setelah memakan ikan itu beberapa kali. Jika mengambil kira dua kenyataan daripada kedua-dua anak Yeop Majlis itu, maka terbukti generasi ketujuh Pak Kaduk yang terlarang memakannya kini sudah lama berakhir.

LAGENDA IKAN TAPAH

Lagenda Ikan Tapah ini adalah kepercayaan orang-orang terdahulu yang menyatakan bahawa keturunan Pak Kaduk tidak boleh menganiaya, memakan atau mengkhianati secara sengaja atau tidak sengaja ikan ini.

Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.

Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayaran datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya.

Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur tersebut dan dieramkan oleh ayamnya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani.

Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam.

Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah:

Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata. Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya. Manakala di pihak Sultan pula:

Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama tidak menyabung ayam.

Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Kaduk yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Kaduk pun bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat baru lah Kaduk sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan.

Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.
Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana orang menanam padi Huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetap juga begitu.

Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar, Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan.

Maka Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:

Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya.

Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air. Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.

Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah.

Setelah segala nya selesai Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa. Diantaranya Sultan Perak melantik Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis

Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan ini lah digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Kaduk jika terkena bisa Ikan tapah.

Tempayan air emas kerongsang Ikan Tapah
Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah (Foto di atas) di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan. Rumah ini terletak di Kampung Tua, Batu 16. Lambor Kanan dan telah dibina pada tahun 1897 oleh Tuan Haji Mohd Said. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1971 ketika berumur 120 tahun.

Terletak di tepi tebing Sungai Perak di Kampung Tua Batu 16 Lambor Kanan. Rumah ini sekarang diduduki oleh anak Mohd Said yang bernama Zulaika binti Mohamad Said. Pada peringkat permulaan pembinaan rumah ini, semua kayu digunakan daripada jenis Cengal Emas yang mana setiap tiang, dinding, tingkap dan semua nya dipotong dan dibentuk dengan menggunakan peralatan seperti beliung, kapak dan gergaji.

INFO IKAN TAPAH

Wednesday, November 24, 2010

MOYANG HAMIDAH BT UDA JEWA DALAM KENANGAN

Oleh Abdul Rahman Hashim (e-mail - rumpunmajlis@gmail.com)

ALFATEHAH buat Moyang Hamidah Uda Jewa yang telah kembali ke rahmatullah sebulan yang lalu. Semasa saya melayari blog Pak Mai http://jamalmajlis.blogspot.com (Jamaludin Yeop Majlis) tersinggah saya pada postingnya bertarikh 3 Jun 2009 yang memaparkan wajah Moyang Mida yang cukup saya kenali sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja terutama ketika saya berada di kampung. Rumah Moyang Midah bersebelahan sahaja dengan rumah Tok Yeop Majlis di Kg. Teluk Pedayung, Lambor Kanan.

Moyang Midah begitu rapat sekali dengan keluarga Yeop Majlis. Sebagai jiran terdekat beliau sering berkunjung ke rumah Tok Yeop Majlis terutama untuk menjenguk Opah Su. Beliau bukan sahaja berjiran, malah Moyang Midah juga mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat dengan keluarga Yeop Majlis dan juga Opah Su Habsah Tain.

Menurut Pak Mai (merujuk perbualan fb), ayahandanya Uda Jewa mempunyai pertalian poersaudaraan dengan Kulup Lokeh, malah saya juga diberitahu oleh bonda Arbaayah, bahawa Uda Jewa adalah sepupu dengan Kulup Lokeh. Sementara itu suami Allahyarhamah Hamidah Uda Jewa namanya Jabarbi (juga telah meninggal dunia lebih awal), beliau ini menurut info daripada Pak Mai ialah tok sedara kepada Opah Su Hjh Habsah Bt Haji Tain

Hamidah Uda Jewa juga merupakan bonda angkat kepada Mohd. Ali Yeop Majlis yang dipanggilnya 'Mak Adah' yang telah menjaganya sewaktu dari kecil lagi setelah kematian isteri pertama Yeop Majlis (Opah Mi).

Allahyarhamah Moyang Midah meninggal dunia dalam usianya yang sudah mencecah lebih 100 tahun. Beliau mempunyai dua orang anak iaitu Enon dan juga Talib. Talib kini seorang anggota polis di Kuala Krai dan masih tinggal di berek polis Kuala Krai, Kelantan. 

Sementara itu Hamidah Uda Jewa juga dikatakan mempunyai ramai adik beradiknya, diantaranya sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Hun ialah Mat Buta yang tinggal di Batu 18 Lambor, dan Ngah Samad di Batu 16 Lambor. Selain dua orang itu ada beberapa orang lagi adik beradiknya yang disebutkan oleh Bonda Arbaayah iaitu Hassan, Yah dan juga Saedah.

Pemergiannya hanya diketahui oleh warga Yeop Majlis menerusi facebook, setelah gambar moyang midah saya paparkan di dalam facebook (Fb -Abdul Rahman Hashim) sejak hari isnin 22 November lalu; di mana salah seorang rakan fb bernama Ridzwan Mohamad Dwan telah memaklumkan bahawa moyang midah telah kembali ke rahmatullah sebulan yang lepas.

Mengimbas kembali kenangan silamnya, moyang midah ini apabila melatah sering menyebut nama 'Kulup Enjah'. Menurut cerita bonda Arbaayah Yeop Majlis, teriakan nama Kulup Enjah ini bermula sewaktu moyang midah berjalan kaki hendak ke pekan, dia tersepak akar kayu lalu dia tertoleh ke belakang melihat ada seorang yang berbadan besar dan tinggi lampai yang juga mengekorinya di belakang, juga hendak menuju ke Pekan Lambor. Nama orang itu ialah KULUP ENJAH, beliau datang dari Teluk Sareh. Apabila terperanjat melihat orang itu, maka dia terus berteriak....Ooo Kulup Enjah..!!

(Di bawah ini dipaparkan juga posting laman blog jamalmajlis.blogspot.com bertarikh 3 Jun 2009 yang menjadi sumber ilham saya untuk memaparkan foto-foto moyang midah)

Ziarah Iyang (Moyang) di Kuala Krai Kelantan

Pada hujung minggu lepas 31 Mei saya membawa emak pergi ke Kelantan bersama rombongan pengantin Azhari bin Zabaei anak Yong (Asma Yeop Majlis) di Kuala Krai. 

Dikesempatan itu pada sebelah malamnya kami dibawa oleh adik saya PJS Cikgu Jalal dari Machang pergi menziarahi Iyang (moyang)yang kebetulan sudah lama tinggal di rumah anaknya Talit di kuarters polis Kuala Krai.

Dulu Iyang tinggal bersebelahan rumah kami di Kg Teluk Pedayung Lambor Kanan Parit Perak. Tetapi telah meninggalkan rumah lama itu sejak 1990 lagi. Nama sebenarnya Hamidah bt Uda Jewa,(kami orang kampung panggil dia Iyang Betina)dan suaminya Allahyarham Jabarbi (kami panggil Iyang Jantan) mempunyai 2 orang anak, pertama kami panggil Opah Enon tinggal di Kuala Kangsar Perak dan seorang lagi Talit tinggal di Kuala Krai Kelantan.
Umurnya dah mencecah 100 tahun sekarang tetapi masih kuat lagi, cuma pendengaran dan penglihatan dah terlalu kurang. Dulu dikampung dia boleh panjat pokok gelugor. Satu-satunya wanita tua yang boleh panjat pokok gelugor sampai ke puncak. Sebab itu badannya sihat sampai sekarang. Kalau tengok kulit mukanya tak nampak macam dah berumur 100 tahun. Betul-betul awet muda. Itulah kelebihan amalan pemakanan sihat yang bersifat alami. Antara pendapatannya dulu ialah menjual asam keping yang ia proses sendiri. Hari-hari menjemur asam gelugur yang dikeping-kepingkan diatas tikar mengkuang didepan rumahnya. Buah gelugur ia petik sendiri dari pokoknya. Panjat dan kait..

Beliau menangis hiba menerima kunjungan kami walaupun jenuh dia nak mengingat siapakah kami. Emak saya pun dia dah tak kenal sedangkan dulu kawan baik dan jiran sebelah rumah di kampung. Bila kami sebut Besah Yeop Majlis barulah dia terkenang dan berlenanglah air matanya dengan penuh hiba. 

Lihat 2 komen dari Jalil Majlis dan Khalili Majlis:

2 comments:

AjymNarnia berkata...
Lama nya tak jumpa Iyang...dah mcm itu rupa yer...nampak dah tuanya.. Dulu pun masa ayai cerite...ayai bagitahu kat iyang yg emak sekarang ni duduk kat rumah yong... bukan main lagi dia anggukkan kepada menandakan faham... lepas tu tetiba je dia menanya... ate... emak kamu kat mana sekarang...hahahah... penat jer ayai cerite... Samalah agaknya macam sekarang ni yek... iyang nangis sebab lama tak jumpa agaknya...tetiba dia tanya... ate...kome ni saper sebenonye.... Tu la dah tua kan... nak buat macamana...
ERMM.....TRAGIS JUGA BILA TGK Iyang...nampak tua sgt...tp mmg dah tua pun..klu umur dah cecah 100..dah tentu la tua... Tp disebabkan kita membesar kat kampong dan boleh dikatakan sentiasa bersama Iyang kat sebelah umah..so kita rasa hubungan kita ngan Iyang begitu rapat..sedih tgk Iyang dah mcm tu...tentu Iyang happy sgt bila mak dtg dan ramai org visit dia... MMg tak dinafikan selepas beberapa ketika dia dah lupa semula siapa yg dtg... aku last jumpa Iyang pun 2 tahun sudah kot...masa tu aku gi umah PO kat Kuala Kangsar..dan masa tu Iyang dok umah Opah Enon dekat ngan umah PO... Dia mmg tak kenal aku..jenoh ngabonya...lama bebeno baghu dia tahu...tp biasa la dia tanya balik..'kamu ni saperrrr'....kabo semula.....lupa balik...

Monday, November 22, 2010

PELBAGAI RAUT WAJAH RUMAH KEDIAMAN YEOP MAJLIS..

  Oleh Abdul Rahman Hashim

Panorama Rumah Yeop Majlis dan Madrasah Yeop Majlis di tepian Sungai Perak, 
Kg. Teluk Pedayung, Lambor Kanan, Perak.
Beginilah wajah sepi kediaman Yeop Majlis
Kediaman Yeop Majlis yang terletak di Kampung Teluk Pedayung, Lambor Kanan, Parit, Perak kini kian sepi setelah tidak berpenghuni sejak tahun 1995. Begitu juga dengan bangunan madrasahnya (Madrasah Ehsaniah) yang lebih dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai 'Madrasah Yeop Majlis' turut menghiris kesepian setelah jemaahnya semakin merajuk meninggalkan kampung halaman.

Segala-galanya telah menjadi nostalgia terutamanya kepada mereka yang pernah bermastautin di sini. Sejak pemergian Allahyarham Yeop Majlis ke rahmatullah pada tanggal 10 November 1979, rumah dan madrasah yang ditinggalkannya tidak sesepi sekarang ini, kerana anak-anaknya yang masih mendiami rumah tersebut telah dapat mengimarahkan pelbagai kegiatan ilmu dan ibadah di madrasah itu.
Keadaan tangga di bahagian tengah rumah yang uzur
Namun begitu lambaian kota bagaikan mencumburui malah lebih berdaya untuk mempengaruhi mereka dan warga sekampung yang lainnya supaya tinggalkan kampung halaman untuk memenuhi tuntutan mata pencarian di kota, maka premis warisan Yeop Majlis semakin berubah ketidak ceriaannya berbanding sebelumnya.

Janganlah diharapkan kepada warga tua yang semakin menghampiri kesenjaannya, malah semakin menghilang setelah kesampaian ajal masing-masing. Rumah Yeop Majlis dan madrasahnya kini tidak lagi berpenghuni, namun begitu 'raut rajuk' wajahnya bagaikan menggamit simpati supaya ada di kalangan pewarisnya yang masih mengingati nostalgia silam sewaktu mereka membesar di sini.

Menjengah semula di lokasi silam ini, bagaikan terhiris hati terkenang nasib yang menimpa kediaman dan madrasah milik seorang mualim Lambor dan juga Guru Agama yang dihormati oleh segenap lapisan masyarakat bukan sahaja sekitar Lambor, malah anak-anak muridnya di seluruh negeri Perak. 

Remaja Kg Tlk Pedayung di laman madrasah Yeop Majlis
Khazanah milik Allahyarham Yeop Majlis ini haruslah dipelihara dan dipulihara oleh pewaris-pewarisnya supaya ia dapat diabadikan untuk generasinya di masa akan datang. Tidak wajar rasanya rumah pusaka ini hanya dilawati untuk persinggahan mata memandang sedangkan ia tidak dipedulikan. Bukannya menghalang untuk diziarahi, tetapi cucu/cicit/cucut Allahyarham Yeop Majlis harus diberikan suntikan motivasi supaya mereka dapat mengamati dan menjiwai leluhur kelilmuan datuk dan moyang mereka.

Biarlah kediamannya kelihatan lebih terurus kerana semua warga lambor sedia maklum bahawa Yeop Majlis bukan sahaja mempunyai anak dan cucu cicit yang ramai lagi terdidik, bahkan mungkin ada yang tidak percaya beginikah keadaannya rumah Tok Guru Yeop Majlis? Jika kita berbangga dengan penghormatan yang diberikan oleh masyarakat terhadap Yeop Majlis, maka sewajarnyalah kita mengorak langkah untuk mendorong satu permuafakatan di kalangan sanak saudara supaya singgahsana Yeop Majlis ini dapat diceriakan seadanya.
Anak-anak Salihun di dalam rumah Yeop Majlis
Yahya Majlis dan Abd. Rahim Majlis
Keadaan jalan di hadapan rumah menuju sekolah
Pokok pisang di hadapan madrasah tepi sungai Perak
Yahya Yeop Majlis dan cucunya

Madrasah Yeop Majlis

 Anak-anak Mohd. Jamil Yeop Majlis
Pandangan dari hadapan madrasah

Halaman madrasah ketika dibersihkan
Rumah dan madrasah Yeop Majlis
Rumah dan madrasah Yeop Majlis
Rumput/lalang yang diracun di depan rumah

Semak samun di depan rumah
Melihat rumah dari bangunan madrasah
Pandangan dari beranda rumah
Keadaan bahagian dapur rumah
Bahagian dapur rumah

Bahagian tepi rumah
Beranda rumah

Pandangan rumah dari madrasah
Pandangan rumah dari madrasah
Keadaan di dalam rumah
Yahya & Rahim
Yahya Yeop Majlis di tangga rumah

Halaman rumah yang ditumbuhi lalang

Halaman rumah dipenuhi semak
Pemandangan tepi tebing Sungai Perak depan rumah
Keluarga Arbaayah Yeop Majlis foto depan rumah

Anak-anak Mohd. Jamil Majlis
Cucu-cucu Yahya Yeop Majlis
Gambar tahun 2000.

Sunday, November 21, 2010

HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID, ULAMAK NEGERI PERAK

HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID, ULAMAK NEGERI PERAK

Oleh Abdul Rahman Hashim
HAJI YEOP MAJLIS B. PANDAK MOHID
HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang adalah satu nama besar kepada serumpun keluarga yang memiliki susur galur salasilah yang merentasi keturunannya sejak zaman berzaman hinggalah ke hari ini; menjadikannya tidak pupus malah zuriatnya semakin berkembang bagaikan sebuah 'EMPAYAR KELUARGA' yang memiliki pelbagai mercu kejayaan dan kecemerlangan tersendiri.

HAJI YEOP MAJLIS dilahirkan pada 14 Disember 1901 dan telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usianya yang mencecah 78 tahun. Beliau merupakan seorang guru agama (ulamak) yang disegani bukan sahaja di Kampung Teluk Pedayung, Lambor Kanan dan juga  di Teluk Intan, Perak; malah keunggulannya sebagai seorang ulamak begitu dikenali di negeri Perak. 

Pemergiannya ke rahmatullah pada tanggal 10 November 1979 bukan sahaja ditangisi oleh isteri, anak-anak dan cucu cicitnya, malah anak-anak didiknya di seluruh pelusuk negeri Perak turut merasakan kehilangannya. Berpusu-pusu mereka yang datang dari Malim Nawar, Batu Gajah, Slim River, Ipoh, Parit, Setiawan, Kuala Kangsar, Teluk Intan, Bidor, Tapah, Kampar, Gopeng dan terdapat juga rombongan dari Kuala Lumpur yang menziarahi jenazahnya di Kampung Teluk Pedayung, Lambor Kanan, Perak hinggalah jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan Kg. Talang, di Lambor Kanan, Parit, Perak.
Pertemuan Ulamak Perak di Lambor, 1959  - YEOP MAJLIS, kiri sekali
Kampung Teluk Pedayung yang terletak di mukim Lambor Kanan dalam daerah Parit (Perak Tengah) menjadi semakin dikenali kerana di sinilah lahirnya seorang ulamak dan di sini jugalah Yeop Majlis menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Kediaman Allahyarham Haji Yeop Majlis, di Kg. Teluk Pedayung.
Nama besar YEOP MAJLIS bagaikan berpisah tiada bagi warga Kampung Teluk Pedayung. Namanya telah diabadikan oleh pihak berkuasa tempatan di atas sebatang lorong jalan (Lorong Haji Yeop Majlis) menghala ke baroh merentasi bendang padi yang hampir pupus dari gotak jalan besar menuju ke tepian Sungai Perak dimana di situlah terletaknya kediaman seorang ulamak Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid. Selain daripada Kampung Teluk Pedayung di Lambor Kanan, Allahyarham Haji Yeop Majlis juga mempunyai kediaman bersama isteri keduanya di Kampung Baru, Air Hitam, di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak.

Allahyarham Haji Yeop Majlis semasa hayatnya mempunyai 29 orang anak daripada tiga orang isterinya iaitu Jamilah @ Che Mi Binti Abdul Rahman (Arwah), Shamsiah (Arwah) dan juga Habsah Binti Tain (masih hidup). Daripada 29 orang anak-anaknya itu yang masih hidup sehingga kini (Disember 2010) ialah seramai 12 orang. Mengikut statistik yang dikemaskinikan oleh Abdul Jalil Yeop Majlis bilangan cucunya kini mencecah 115 orang, manakala cicitnya berjumlah 219 orang dan piutnya pula 25 orang. Ini tidak termasuk menantunya seramai 12 orang, cucu menantu, 64 orang dan cicit menantu, 19 orang.

Madrasah Al-Ehsan Yeop Majlis
Salah seorang anakanda Yeop Majlis iaitu Dato' Ahamed Hambal Bin Yeop Majlis (Arwah) pernah menjadi Ahli Parlimen Parit dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bota. Manakala seorang lagi anakandanya Dato' Dr. Burhanuddin Haji Yeop Majlis merupakan seorang Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengetuai ((Pengarah) sebuah Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektronik Nano (IMEN).

Di antara anak-anaknya yang masih hidup ialah Yahya Yeop Majlis yang tinggal di Selayang Utama, Arbaayah Yeop Majlis yang tinggal di Apartment Abdullah Hukum, Bangsar, Mohd. Ali Yeop Majlis, Asma Yeop Majlis tinggal di Lembah Keramat, Hulu Klang, Profesor Dato' Dr. Burhanuddin Yeop Majlis di Bandar Baru Bangi, Abdul Rahim Yeop Majlis di Seri Iskandar, Perak, Salihun Yeop Majlis di Titi Gantung, Bota, Perak, Mohd. Jamil Yeop Majlis di Bandar Baru Bangi, Jamaluddin Yeop Majlis di Kuang, Selangor, Jalaludin Yeop Majlis seorang guru di Machang, Kelantan, Abdul Jalil Yeop Majlis bertugas di PNB dan Khalili Yeop Majlis di Kampar, Perak.

RUMPUN YEOP MAJLIS kini muncul di laman maya sebagai blogg untuk menjadi tatapan seisi keluarga Haji Yeop Majlis dan juga rujukan kepada pewaris-pewarisnya. Selain daripada laman-laman sosial Facebook yang dimiliki oleh sebahagian besar anak-anak dan cucu cicitnya, 'rumpunmajlis.blogspot.com' juga bakal menghidangkan maklumat-maklumat keluarga kita untuk masa hadapan.

Anda boleh membuat komen, juga cadangan-cadangan yang membina samada dalam bentuk penulisan ataupun mengirimkan foto yang berkaitan untuk digalerikan dalam blog ini. Sila emelkan apa jua maklumat berkaitan kepada rumpunmajlis@gmail.com.