Assalamualaikum

MENGENALI BLOG INI

My photo
Laman blog ini muncul sebagai galeri maklumat untuk menjadi tatapan seisi keluarga Allahyarham HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID yang berada di seluruh negara. Allahyarham Yeop Majlis merupakan seorang Mualim/Ulamak yang begitu dikenali terutamanya di negeri Perak. Semasa hayatnya beliau sering dijemput untuk menyampaikan siri pengajian/kuliah di beberapa buah masjid dan juga surau/madrasah di seluruh negeri Perak. Sebagai Guru Agama, Haji Yeop Majlis dihormati bukan sahaja di kampung halamannya di Lambor Kanan (Parit, Perak) malah meliputi daerah-daerah lain di negeri Perak Darul Ridzwan. Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usia 78 tahun. Allahyarham dikurniakan 29 orang anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri. Empayar keluarga Yeop Majlis kini kian membesar dengan pertambahan bilangan cucu dan cicit serta piutnya.

RAKAN SERUMPUN

Sunday, November 21, 2010

HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID, ULAMAK NEGERI PERAK

HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID, ULAMAK NEGERI PERAK

Oleh Abdul Rahman Hashim
HAJI YEOP MAJLIS B. PANDAK MOHID
HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang adalah satu nama besar kepada serumpun keluarga yang memiliki susur galur salasilah yang merentasi keturunannya sejak zaman berzaman hinggalah ke hari ini; menjadikannya tidak pupus malah zuriatnya semakin berkembang bagaikan sebuah 'EMPAYAR KELUARGA' yang memiliki pelbagai mercu kejayaan dan kecemerlangan tersendiri.

HAJI YEOP MAJLIS dilahirkan pada 14 Disember 1901 dan telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usianya yang mencecah 78 tahun. Beliau merupakan seorang guru agama (ulamak) yang disegani bukan sahaja di Kampung Teluk Pedayung, Lambor Kanan dan juga  di Teluk Intan, Perak; malah keunggulannya sebagai seorang ulamak begitu dikenali di negeri Perak. 

Pemergiannya ke rahmatullah pada tanggal 10 November 1979 bukan sahaja ditangisi oleh isteri, anak-anak dan cucu cicitnya, malah anak-anak didiknya di seluruh pelusuk negeri Perak turut merasakan kehilangannya. Berpusu-pusu mereka yang datang dari Malim Nawar, Batu Gajah, Slim River, Ipoh, Parit, Setiawan, Kuala Kangsar, Teluk Intan, Bidor, Tapah, Kampar, Gopeng dan terdapat juga rombongan dari Kuala Lumpur yang menziarahi jenazahnya di Kampung Teluk Pedayung, Lambor Kanan, Perak hinggalah jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan Kg. Talang, di Lambor Kanan, Parit, Perak.
Pertemuan Ulamak Perak di Lambor, 1959  - YEOP MAJLIS, kiri sekali
Kampung Teluk Pedayung yang terletak di mukim Lambor Kanan dalam daerah Parit (Perak Tengah) menjadi semakin dikenali kerana di sinilah lahirnya seorang ulamak dan di sini jugalah Yeop Majlis menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Kediaman Allahyarham Haji Yeop Majlis, di Kg. Teluk Pedayung.
Nama besar YEOP MAJLIS bagaikan berpisah tiada bagi warga Kampung Teluk Pedayung. Namanya telah diabadikan oleh pihak berkuasa tempatan di atas sebatang lorong jalan (Lorong Haji Yeop Majlis) menghala ke baroh merentasi bendang padi yang hampir pupus dari gotak jalan besar menuju ke tepian Sungai Perak dimana di situlah terletaknya kediaman seorang ulamak Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid. Selain daripada Kampung Teluk Pedayung di Lambor Kanan, Allahyarham Haji Yeop Majlis juga mempunyai kediaman bersama isteri keduanya di Kampung Baru, Air Hitam, di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak.

Allahyarham Haji Yeop Majlis semasa hayatnya mempunyai 29 orang anak daripada tiga orang isterinya iaitu Jamilah @ Che Mi Binti Abdul Rahman (Arwah), Shamsiah (Arwah) dan juga Habsah Binti Tain (masih hidup). Daripada 29 orang anak-anaknya itu yang masih hidup sehingga kini (Disember 2010) ialah seramai 12 orang. Mengikut statistik yang dikemaskinikan oleh Abdul Jalil Yeop Majlis bilangan cucunya kini mencecah 115 orang, manakala cicitnya berjumlah 219 orang dan piutnya pula 25 orang. Ini tidak termasuk menantunya seramai 12 orang, cucu menantu, 64 orang dan cicit menantu, 19 orang.

Madrasah Al-Ehsan Yeop Majlis
Salah seorang anakanda Yeop Majlis iaitu Dato' Ahamed Hambal Bin Yeop Majlis (Arwah) pernah menjadi Ahli Parlimen Parit dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bota. Manakala seorang lagi anakandanya Dato' Dr. Burhanuddin Haji Yeop Majlis merupakan seorang Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengetuai ((Pengarah) sebuah Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektronik Nano (IMEN).

Di antara anak-anaknya yang masih hidup ialah Yahya Yeop Majlis yang tinggal di Selayang Utama, Arbaayah Yeop Majlis yang tinggal di Apartment Abdullah Hukum, Bangsar, Mohd. Ali Yeop Majlis, Asma Yeop Majlis tinggal di Lembah Keramat, Hulu Klang, Profesor Dato' Dr. Burhanuddin Yeop Majlis di Bandar Baru Bangi, Abdul Rahim Yeop Majlis di Seri Iskandar, Perak, Salihun Yeop Majlis di Titi Gantung, Bota, Perak, Mohd. Jamil Yeop Majlis di Bandar Baru Bangi, Jamaluddin Yeop Majlis di Kuang, Selangor, Jalaludin Yeop Majlis seorang guru di Machang, Kelantan, Abdul Jalil Yeop Majlis bertugas di PNB dan Khalili Yeop Majlis di Kampar, Perak.

RUMPUN YEOP MAJLIS kini muncul di laman maya sebagai blogg untuk menjadi tatapan seisi keluarga Haji Yeop Majlis dan juga rujukan kepada pewaris-pewarisnya. Selain daripada laman-laman sosial Facebook yang dimiliki oleh sebahagian besar anak-anak dan cucu cicitnya, 'rumpunmajlis.blogspot.com' juga bakal menghidangkan maklumat-maklumat keluarga kita untuk masa hadapan.

Anda boleh membuat komen, juga cadangan-cadangan yang membina samada dalam bentuk penulisan ataupun mengirimkan foto yang berkaitan untuk digalerikan dalam blog ini. Sila emelkan apa jua maklumat berkaitan kepada rumpunmajlis@gmail.com.

1 comment:

  1. Salam sejahtera.

    Lagi cantik blog ini carta salasilah keluarga Tn.HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang di pamerkan disini.Maka lengkaplah semua.

    ReplyDelete