Assalamualaikum

MENGENALI BLOG INI

My photo
Laman blog ini muncul sebagai galeri maklumat untuk menjadi tatapan seisi keluarga Allahyarham HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID yang berada di seluruh negara. Allahyarham Yeop Majlis merupakan seorang Mualim/Ulamak yang begitu dikenali terutamanya di negeri Perak. Semasa hayatnya beliau sering dijemput untuk menyampaikan siri pengajian/kuliah di beberapa buah masjid dan juga surau/madrasah di seluruh negeri Perak. Sebagai Guru Agama, Haji Yeop Majlis dihormati bukan sahaja di kampung halamannya di Lambor Kanan (Parit, Perak) malah meliputi daerah-daerah lain di negeri Perak Darul Ridzwan. Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usia 78 tahun. Allahyarham dikurniakan 29 orang anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri. Empayar keluarga Yeop Majlis kini kian membesar dengan pertambahan bilangan cucu dan cicit serta piutnya.

RAKAN SERUMPUN

Sunday, November 28, 2010

LAGENDA IKAN TAPAH KAITANNYA DENGAN PAK KADUK

Oleh Abdul Rahman Hashim (emel: rumpunmajlis@gmail.com)   

Ikan Tapah. Keturunan Pak Kaduk tak boleh makan ikan ini?
Ikan tapah satu-satunya spesis ikan yang amat sensitif bagi kebanyakan orang Lambor. Sebut sahaja Lambor, mesti terkait dengan Ikan Tapah. Warga Lambor dikatakan tidak boleh memakan ikan ini. Tidak jelas berapa keturunan Pak Kaduk yang tidak boleh makan ikan ini. Ada pendapat mengatakan tujuh keturunan Pak Kaduk tak boleh makan ikan tapah ini. Persoalannya ialah apakah generasi hari ini sudah melampaui edah yang disebutkan itu?

Oleh kerana rumpun keluarga Yeop Majlis ini berasal dari Lambor Kanan, tentunya kita juga terkait sebagai sebahagian daripada keturunan Pak Kaduk yang tidak boleh memakan ikan tapah. Benarkah keturunan Yeop Majlis hari ini masih terbelengu dengan sumpahan Pak Kaduk itu? 

Jika merujuk kenyataan anaknya Salihun Yeop Majlis (Foto kiri) di dalam facebooknya, beliau sudah pun termakan pekasam Ikan Tapah ini di Kuala Kangsar, namun sehingga sekarang tidak terdapat apa-apa kesan yang memudaratkan dirinya. 

Begitu juga dengan seorang lagi anaknya Jamaluddin Yeop Majlis (Foto kanan), beliau tidak mengalami kemudaratan setelah memakan ikan itu beberapa kali. Jika mengambil kira dua kenyataan daripada kedua-dua anak Yeop Majlis itu, maka terbukti generasi ketujuh Pak Kaduk yang terlarang memakannya kini sudah lama berakhir.

LAGENDA IKAN TAPAH

Lagenda Ikan Tapah ini adalah kepercayaan orang-orang terdahulu yang menyatakan bahawa keturunan Pak Kaduk tidak boleh menganiaya, memakan atau mengkhianati secara sengaja atau tidak sengaja ikan ini.

Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.

Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayaran datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya.

Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur tersebut dan dieramkan oleh ayamnya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani.

Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam.

Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah:

Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata. Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya. Manakala di pihak Sultan pula:

Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama tidak menyabung ayam.

Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Kaduk yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Kaduk pun bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat baru lah Kaduk sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan.

Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.
Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana orang menanam padi Huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetap juga begitu.

Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar, Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan.

Maka Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:

Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya.

Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air. Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.

Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah.

Setelah segala nya selesai Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa. Diantaranya Sultan Perak melantik Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis

Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan ini lah digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Kaduk jika terkena bisa Ikan tapah.

Tempayan air emas kerongsang Ikan Tapah
Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah (Foto di atas) di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan. Rumah ini terletak di Kampung Tua, Batu 16. Lambor Kanan dan telah dibina pada tahun 1897 oleh Tuan Haji Mohd Said. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1971 ketika berumur 120 tahun.

Terletak di tepi tebing Sungai Perak di Kampung Tua Batu 16 Lambor Kanan. Rumah ini sekarang diduduki oleh anak Mohd Said yang bernama Zulaika binti Mohamad Said. Pada peringkat permulaan pembinaan rumah ini, semua kayu digunakan daripada jenis Cengal Emas yang mana setiap tiang, dinding, tingkap dan semua nya dipotong dan dibentuk dengan menggunakan peralatan seperti beliung, kapak dan gergaji.

INFO IKAN TAPAH
Ikan Tapah ialah spesies ikan air tawar dalam famili Siluridae yang terdapat di bahagian selatan Asia dari Pakistan ke Vietnam, Malaysia, dan Indonesia. Ada orang cakap ikan ini juga terdapat di Afghanistan (tu pun kalau tak habis kena bom dengan US).

Ikan Tapah hidup di sungai dan tasik yang beso, dengan dasar sungai yang berlumpur dan air yang mengalir dengan perlahan. Ikan ini ada malas sikit dan biasa suka menyorok kat lubang-lubang yang terdapat di tebing sungai atau memerap kat dasar sungai untuk menyambar mangsa.
 
Ikan ni adalah pemangsa yang kuat makan. Makanan ikan dewasa termasuk ikan yang lebih kecil, krustasia, dan moluska (Ikan ni juga pernah dilihat memyambar monyet yang sedang bercinta kat dahan pokok yang terjulur kat sungai), Anak ikan ni pulak suka makan serangga. Oleh itu, ikan ini adalah ikan perosak, khususnya terhadap ikan-ikan lain yang lebih bernilai... bukan teman yang cakap, tapi pakar ikan yang cakap kuii kuii kuiiiii... Ikan Tapah membiak pada musim panas sebelum musim hujan. Oleh itu, banyak ikan ni boleh ditemukan pada musim panas.

Badan Ikan Tapah panjang dan amat padat isi dia best tu,... Ikan ini boleh membesar sehingga 2.4 meter (8 kaki) panjang. Kepalanya lebar, dengan mulut yang besar dan melekuk. Sudut-sudut mulutnya menjangkau ke belakang matanya. Gigi ikan ini amat tajam dan boleh menggigit manusia. Matanya kecil aja. Ikan Tapah mempunyai dua pasang duri, dengan sirip dorsal yang kecil dan sirip belakang yang amat panjang. Ada beberapa jenis ikan seiras ikan ni iaitu ikan gerahak dan lais.

No comments:

Post a Comment