Petikan dari dinding facebook Jamil Majlis, bertarikh 2 November 2011.
Ku titipkan coretan Naharrashid @ dinbatubara, cucu Yeop Majlis ini, untuk bacaan bersama ... mengusik rasa..
Kira-kira tiga puluh lima tahun dahulu – Lepas SPM; aku mula bekerja di Kuala Lumpur. Pelepas rindu ke kampung adalah surat Setiap suratku dibalas ibu. Aku gunting-cermat sampul-surat ibu. Ibu bahasakan diri bonda-anakanda. Setelah mencoret doa agar aku sihat, dan menceritakan kesihatan ayah dan ibu sendiri, tentang abang dan adik-adik; ibu pun beritahu; bingkisanku telah selamat diterima. Wang ala kadar dapatlah ayah bayarkan hutang di kedai Wak Zari. Adik-adik pula suka benar dengan buku dan majalah terbaru yang kukirim. Ibu ucap terima kasih. Sebak rasa hati untuk terima kata terima kasih dari ibu.
Ibu tulis lagi; sudah dua minggu matahari tidak terbit. Hujan – kadang-kadang pagi; kadang-kadang petang. Ada kalanya sepanjang hari. Ayah dan abang tidak dapat menoreh – batang getah basah. Dalam warkah lain ibu cerita; air sungai melimpah. Padi yang baharu menguning, tenggelam-masam dek banjir.
Zainon Yeop Majlis (Berdiri di tengah), bonda kepada Naharrashid
Surat musim kemarau pula; ibu beritahu : Daun getah kuning dan luruh. Ayah tidak menoreh – susu tak ada. Atau, ibu akan tulis : Pokok getah sedang berpucuk-muda. Dalam dua minggu lagi baru ayah boleh menoreh. Insyaallah; susu akan bertambahlah sedikit; kata ibu.
Kemarau menyebabkan air sungai surut dan cetek. Orang kampung tua-muda turun ke sungai, mengutip remis; boleh buat masak lemak. Ada sebesen kira-kira dua gantang yang dikutip abang semalam sedang direndam dalam 'periuk genting' di dapur (remis ditrendam semalaman supaya pasir-pasir yang tersimpan dalam cengkerangnya dimuntahkan). Ibu tulis itu, ikut gaya bahasa ibu.
Iya; hujan dan kemarau; petaka yang amat mencekik kehidupan kami; dan warga sekampung. Bila ia tiba; anak ayam yang baru belajar berkokok pun; atau telor, tidak sempat diramkan – semua dijual. Ah Chong bermotorsikal dari Tanjung Tualang datang keliling-keliling kampung beli apa saja – anak ayam yang baru sebesar genggaman tangan, angsa, telor, bapa itek; semua dia terima. Semua itu untuk secupak-dua beras, lapan tahil gula, empat tahil minyak kelapa dan sekeping-dua anak tamban masin.
Ibu tulis semua itu. Ibu ambil bahagian tengah buku latihan adik. Selalunya dua helai. Kadang-kala ibu tulis dalam tulisan jawi.
Rindunya pada coretan ibu. Bagi aku, ibu bukan tulis surat. Tetapi bercerita - warkah ibu yang kadang-kala ada bau minyak tanah. Dan pernah ada kesan tumpuk tumpahan minyak tanah dan kesan corengan arang dari sumbu pelita, pada helaian warkah ibu – pastilah ibu menulis di waktu malam.
Selalu juga tulisan ibu sukar dibaca kerana terlalu banyak kesan dipadam – adakalanya hingga terkoyak tempat yang dipadam, apabila ibu tulis dengan 'pen kaban' (pena mata bulat). Namun tulisan rumi, tulisan tangan ibu, bagiku amat cantik – bukti ibu pernah masuk sekolah sebelum perang Jepun. Dan aku yakin bakat bercerita ibu turun kepada adik perempuan ku; Am, yang telah banyak menghasilkan novel.
Suatu ketika aku menyimpan cermat semua surat ibu - surat bersampul surat cap kapal terbang berlakar biru merah sekeliling sampul. Sayang, surat itu hilang entah bila; mungkin tatkala isteri atau anak-anakku mengemas bilik bacaan di rumah kami. Namun ingatan kepada ibu tetap terpahat-kuat di hati; bagai baru semalam aku terima warkah ibu; meski sudah dua puluh tahun lima tahun lebih ibu pergi. Alfatihah.Notakaki : Demi Allah. aku tidak pernah nampak ibu berbohong. Aku malah tidak pernah merasakan/terfikir ibu berbohong.
No comments:
Post a Comment