Saya titipkan nukilan hati oleh Naharuddin Rashid, cucu Yeop Majlis yang begitu menyentuh perasaan.
![]() |
Bonda Zainon Yeop Majlis, duduk di kiri sekali. |
Ayahanda dan bonda kami...
Kira-kira tiga puluh lima tahun dahulu – Lepas SPM; aku mula bekerja di Kuala Lumpur. Pelepas rindu ke kampung adalah surat Setiap suratku dibalas emak. Aku gunting-cermat sampul-surat emak. Emak bahasakan diri bonda-anakanda.
Setelah mencoret doa agar aku sihat, dan menceritakan kesihatan abah dan emak sendiri, tentang abang dan adik-adik; emak pun beritahu; bingkisanku telah selamat diterima. Wang ala kadar dapatlah abah bayarkan hutang di kedai Wak Zari. Adik-adik pula suka benar dengan buku dan majalah terbaru yang kukirim. Emak ucap terima kasih. Sebak rasa hati untuk terima kata terima kasih dari emak.
Emak tulis lagi; sudah dua minggu matahari tidak terbit. Hujan – kadang-kadang pagi; kadang-kadang petang. Ada kalanya sepanjang hari. Abah dan abang Nyah tidak dapat menoreh – batang getah basah. Dalam warkah yang lain emak cerita; air sungai melimpah. Padi yang baharu menguning, tenggelam-masam dek banjir.
Surat musim kemarau pula; emak beritahu : Daun getah sudah kuning dan luruh. Abah tidak menoreh – susu tak ada. Atau, emak akan tulis : Pokok getah sedang berpucuk-muda. Dalam dua minggu lagi baru abah boleh menoreh. Insyaallah, susu akan bertambahlah sedikit; kata emak.
Kemarau menyebabkan air sungai surut dan cetek. Orang kampung tua-muda turun ke sungai, mengutip remis; boleh buat masak lemak. Ada sebesen – kira-kira dua gantang yang dikutip abang Nyah semalam sedang direndam dalam 'periuk genting' di dapur (remis direndam semalaman supaya pasir-pasir yang tersimpan dalam cengkerangnya dimuntahkan). Emak tulis itu, ikut gaya bahasa emak.
Iya; hujan dan kemarau; petaka yang amat mencekik kehidupan kami dan warga sekampung. Bila ia tiba, anak ayam yang baru belajar berkokok pun atau telor; tidak sempat diramkan – semua dijual. Ah Chong bermotorsikal dari Tanjung Tualang datang keliling-keliling kampung beli apa saja – anak ayam yang baru sebesar genggaman tangan, angsa, telor, bapa itek; semua dia terima. Semua itu untuk secupak-dua beras, lapan tahil gula, empat tahil minyak kelapa dan sekeping-dua anak tamban masin.
Emak tulis semua itu. Emak ambil bahagian tengah buku latihan adik. Selalunya dua helai. Kadang-kala emak tulis dalam tulisan jawi. Rindunya pada coretan emak. Bagi aku, emak bukan tulis surat. Tetapi bercerita. Warkah emak yang kadang-kala ada bau minyak tanah. Pernah ada kesan tumpuk tumpahan minyak tanah dan kesan corengan arang dari sumbu pelita, pada helaian warkah emak – pastilah emak menulis di waktu malam.
Selalu juga tulisan emak sukar dibaca kerana terlalu banyak kesan dipadam – adakalanya hingga terkoyak tempat yang dipadam, apabila emak tulis dengan 'pen kaban' (pena mata bulat). Namun tulisan rumi, tulisan tangan emak, bagiku amat cantik – bukti emak pernah masuk sekolah sebelum perang Jepun. Dan aku yakin bakat bercerita emak turun kepada adik perempuan ku; Am, yang telah banyak menghasilkan novel.
Suatu ketika aku menyimpan cermat semua surat emak; surat bersampul-surat cap kapal terbang berlakar biru merah sekeliling sampul. Sayang, surat itu hilang entah bila; mungkin tatkala isteri atau anak-anakku mengemas bilik bacaan di rumah kami.
Namun ingatan kepada emak tetap terpahat-kuat di hati; bagai baru semalam aku terima warkah emak; meski sudah dua puluh lima tahun lebih emak pergi. Alfatihah.
Din Batubara
23hb. Sept.; 2010/ 14 Syawal 1431H
Tersiar di ADILA, Klasik Nasional
Penerbit : Norlia Ahma
No comments:
Post a Comment