Assalamualaikum

MENGENALI BLOG INI

My photo
Laman blog ini muncul sebagai galeri maklumat untuk menjadi tatapan seisi keluarga Allahyarham HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID yang berada di seluruh negara. Allahyarham Yeop Majlis merupakan seorang Mualim/Ulamak yang begitu dikenali terutamanya di negeri Perak. Semasa hayatnya beliau sering dijemput untuk menyampaikan siri pengajian/kuliah di beberapa buah masjid dan juga surau/madrasah di seluruh negeri Perak. Sebagai Guru Agama, Haji Yeop Majlis dihormati bukan sahaja di kampung halamannya di Lambor Kanan (Parit, Perak) malah meliputi daerah-daerah lain di negeri Perak Darul Ridzwan. Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usia 78 tahun. Allahyarham dikurniakan 29 orang anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri. Empayar keluarga Yeop Majlis kini kian membesar dengan pertambahan bilangan cucu dan cicit serta piutnya.

RAKAN SERUMPUN

Wednesday, December 1, 2010

INSIDEN TIDUR DALAM AIR

Oleh Abdul Rahman Hashim (Emel: rumpunmajlis@gmail.com)

Himpunan Keluarga Yeop Majlis pada 24 Februari 2002
Keratan Akhbar Utusan Malaysia yang membuat liputan berita
Rupa-rupanya peristiwa Yeop Majlis tertidur di dalam perahu yang ditenggelami air bersama buah-buahan yang dijajanya telah menjadikannya suatu iltizam untuk mengejar cita-cita menjadi seorang Guru Agama. Ini diceritakan sendiri oleh anakandanya Mohd. Jamil Majlis semasa diadakan Perhimpunan Keluarga Yeop Majlis pada 24 Februari 2002.

Pengisahan peristiwa ini telah mendapat perhatian oleh Majalah Anis keluaran April 2002. Berikut ini adalah petikan dari Majalah Anis keluaran April 2002 berkaitan dengan Perhimpunan Keluarga Yeop Majlis itu.

INSIDEN TIDUR DALAM AIR

Kisah silam mencuit hati mengenai tokoh guru agama Perak, Allahyarham Haji Yeop Majlis bin Pandak Mohid adalah antara aturcara yang menarik perhatian ahli-ahli keluarga yang hadir dalam Perhimpunan Keluarga Yeop Majlis di Dewan Peladang Kg. Baru Air Hitam, Teluk Intan, Perak pada 24 Februari 2002.
 
Dua puluh tiga tahun selepas Allahyarham kembali ke rahmatullah, lebih 480 ahli keluarga daripada 18 orang anak beliau dibawa mengenang kembali kisah hidup beliau. Pengkisahan ringkas itu antara lain meriwayatkan titik penentu (turning point) pertukaran profesyen Allahyarham Haji Yeop Majlis daripada seorang penjaja buah-buahan kepada seorang guru agama yang disegani.
 
Pengkisahan ringkas itu disampaikan oleh Mohd Jamil Yeop Majlis, anak daripada isteri ketiga Allahyarham. Kisahnya lebih kurang begini.
 
Yeop Majlis semasa usia remajanya menjaja buah-buahan. Dia sering hilir mudik Sungai Perak dengan perahu buah-buahannya. Satu ketika dia berehat sambil tidur di dalam perahunya yang ditambat dengan tali sewaktu air surut.

Apabila air pasang, tali tambatan yang pendek itu telah menyebabkan perahu senget lalu dimasuki air dan ditenggelami air. Sedar-sedar, dia bersama perahu dan buah-buahan jajaannya sudah berada di dalam air. Ekoran kejadian ‘tidur’ dalam air itu, Yeop Majlis kehabisan modal untuk meneruskan jajaannya. Dia mengambil keputusan untuk merantau. 

Perantauannya hanya di sekitar negeri Perak tetapi boleh dianggap agak jauh juga mengikut ukuran perjalanan waktu itu. Kepada ibunya dia berpesan, dia tak akan pulang sebelum dapat dua perkara—dapat kuasai ilmu dan dapat isteri.
 
Dalam perantauannya, dia menuntut ilmu di Pondok Malim Nawar dan di Teluk Intan. Beberapa tahun kemudian dia pulang ke pangkuan keluarga bersama ilmu yang penuh di dada dan tidak lama selepas itu memperolehi isteri daripada orang sekampung, Allahyarham Che’ Mi binti Abdul Rahman.
 
Beliau muncul sebagai guru agama yang disegani bukan saja di kampung asalnya di Kg. Teluk Pedayung, Lambor Kanan dalam daerah Parit dan di kampung isteri keduanya di daerah Teluk Intan, tetapi juga di seluruh Perak.
 
Madrasah peninggalan beliau masih terdapat di pekarangan kediamannya di Kg. Teluk Pedayung di pinggir Sungai Perak dan menunggu masa untuk dihidupkan semula. Di kampung itu juga terbentang sebatang jalan kecil yang mengabadikan nama Hj. Yeop Majlis.
 
Usaha menghimpunkan ahli-ahli keluarga Allahyarham daripada tiga orang isterinya pada hari kedua sambutan Aidiladha tahun 2002 itu dibuat oleh satu Jawatankuasa Penyelaras yang diketuai anak daripada isteri keduanya, Abu Bakar Hj. Yeop Majlis.
 
“Ikatan keluarga besar ini seharusnya dipertemukan untuk merapatkan lagi silaturrahim. Jika usaha ini tidak dirintis bersama sudah pasti wujudnya jurang yang memungkinkan antara satu sama lain tidak
mengenali lebih dekat terutamanya di kalangan generasi cucu dan cicit Yeop Majlis,” ujar En. Abu Bakar.
 
Perhimpunan keluarga itu memberi peluang kepada setiap ahli keluarga untuk sama-sama bertakbir hari raya, membaca tahlil, membaca doa selamat dan menjamu selera dalam suasana kekeluargaan. Satu-satunya isteri Allahyarham yang masih hidup, Hajah Habsah binti Tain, 71, turut hadir bersama-sama 14 orang anak Allahyarham, 104 cucu dan puluhan cicit, serta keluarga masing-masing yang jumlah keseluruhannya 482 orang.
 
Sempena perhimpunan keluarga itu, satu Jawatankuasa Penaja telah dibentuk bagi menubuhkan Ikatan Keluarga Yeop Majlis untuk menjalankan aktiviti mempererat jalinan keluarga besar itu. Antaranya menghimpun maklumat salasilah keluarga, menerbitkan direktori keluarga, menerbitkan buletin keluarga, mengadakan hari keluarga dan membina laman web keluarga Yeop Majlis. – Berita: Zakaria Sungib/Foto: Koleksi keluarga Yeop Majlis

Petikan dari majalah Anis, April 2002

1 comment:

  1. New casino at Betway: Casino to run online for up to
    Online 구리 출장마사지 casinos in South Africa are a great way of life for South African players, and you 파주 출장안마 can 사천 출장안마 try 대전광역 출장마사지 them out in your 충청북도 출장샵 browser.

    ReplyDelete