Assalamualaikum

MENGENALI BLOG INI

My photo
Laman blog ini muncul sebagai galeri maklumat untuk menjadi tatapan seisi keluarga Allahyarham HAJI YEOP MAJLIS BIN PANDAK MOHID yang berada di seluruh negara. Allahyarham Yeop Majlis merupakan seorang Mualim/Ulamak yang begitu dikenali terutamanya di negeri Perak. Semasa hayatnya beliau sering dijemput untuk menyampaikan siri pengajian/kuliah di beberapa buah masjid dan juga surau/madrasah di seluruh negeri Perak. Sebagai Guru Agama, Haji Yeop Majlis dihormati bukan sahaja di kampung halamannya di Lambor Kanan (Parit, Perak) malah meliputi daerah-daerah lain di negeri Perak Darul Ridzwan. Haji Yeop Majlis Bin Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulup Lokeh Bin Tok Gembira Kulup Karim Bin Imam Anjang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November 1979 dalam usia 78 tahun. Allahyarham dikurniakan 29 orang anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang isteri. Empayar keluarga Yeop Majlis kini kian membesar dengan pertambahan bilangan cucu dan cicit serta piutnya.

RAKAN SERUMPUN

Friday, August 16, 2019

DATO' DR BURHANUDDIN YEOP MAJLIS JUGA JURAI KELUARGA PANDAK MOHID

Oleh: Abdul Rahman Hashim

Profesor Dato' Dr Burhanuddin
Bin Yeop Majlis Bin Pandak Mohid

Profesor Dato' Dr Burhanuddin Yeop Majlis dari UKM juga merupakan dari jurai keluarga Pandak Mohid. Beliau adalah anak kepada tokoh ulamak negeri Perak, Tuan Guru Hj Yeop Majlis bin Pandak Mohid; dan juga adik kepada Allahyarham Dato' Ahamed Hambal Yeop Majlis mantan exco kerajaan negeri Perak yang pernah menjadi Ahli Parlimen Parit dan Adun Bota.

Dr Burhanuddin Yeop Majlis cucu kepada Pandak Mohid kini seorang profesor dan Pengarah Pengasas (Founding Director) & Malim (Scholar) di Institut Kejuruteraan Mikro & Nano Elektronik UKM.

Beliau akan menghadiri Himpunan Keluarga Pandak Mohid yang julung kali diadakan pada 1 September 2019 di Dewan Dato Hambal, Bota Kanan, Perak. Beliau juga telah menyumbangkan RM1,000 kepada urusetia untuk menjayakan perhimpunan itu.



Thursday, August 15, 2019

WARGA PANDAK MOHID BERHIMPUN 1 SEPTEMBER 2019

Oleh : Abdul Rahman Hashim


Warga yang bersusur galur dengan Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulop Lokeh Bin Tok Gembira Kulop Karim Bin Imam Anjang akan berhimpun di Dewan Dato Hambal, dekat Bota Kanan pada 1 September 2019 akan datang ini.

Majlis yang bermula pada jam 2.00 petang ini akan menyaksikan suatu himpunan keluarga besar yang merangkumi sanak saudara jurai-jurai warisan Pandak Mohid dari kalangan keluarga Yeop Majlis bin Pandak Mohid, Khodijah bt Pandak Mohid, Mat Jerais bin Pandak Mohid, Mohd Salleh bin Pandak Mohid dan Abdul Halim bin Pandak Mohid iaitu lima anak-anaknya dari isteri kedua, Teh Tiah.

Begitu juga saudara mara dari jurai dua orang anak Pandak Mohid dari isteri pertamanya iaitu Long Kamariah bt Pandak Mohid dan Ngah Mat Taib bin Pandak Mohid juga akan turut serta dalam perhimpunan ini nanti. Sebahagian daripada mereka ini berada di Raub, Pahang.

Mesyuarat AJK Pengelola
Himpunan Warisan Pandak Mohid,
dekat Homestay Pak Hun di Titi Gantung.

Dijangkakan lebih dari 200 orang sanak saudara berkenaan akan memenuhi ruang dalam dewan Dato Hambal pada hari tersebut.

Sekarang ini pihak urusetia sedang bertungkus lumus membuat persiapan untuk menjayakan program tersebut. Urusetia program telah menetapkan bayaran penyertaan sebanyak RM20 seorang untuk dewasa manakala kanak-kanak tidak dikenakan bayaran.

Ahmad Sani bin Hairul Amani bin Khodijah bt Pandak Mohid merupakan Ketua Penyelaras Himpunan ini. Ahmad Sani dibantu oleh Naharudin Rashid bin Zainon bt Yeop Majlis bin Pandak Mohid dan beberapa orang lagi dari kalangan jurai Keluarga Pandak Mohid.

Ahmad Sani bin Hairul Amani
Bin Khodijah bt Pandak Mohid
(Ketua Penyelaras Himpunan)

Nota:
Bayaran penyertaan boleh dibuat menerusi akaun Salihun bin Yeop Majlis (No. akaun BSN 0821329893831319).





Sunday, November 4, 2018

PUSARA DATUK GEMBIRA KULOP LOKEH DITEMUI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pusara Allahyarham Datuk Gembira Kulop Lokeh telah ditemui di tanah perkuburan Islam di Kg Ara Panjang Pulai yg terletak di Manong, Kuala Kangsar, Perak. Penemuan ini diusahakan sendiri oleh cicit Allahyarham, Hj Ahmad Kamal bin Mat Jerais bin Pandak Mohid bin Datuk Gembira Kulop Lokeh di tanah perkuburan itu pada hari Sabtu, 3 November, 2018. 
Hj Ahmad Kamal bin Mat Jerais bin Pandak Mohid
bin Tok Gembiran Kulop Lokeh
Papajn tanda arah ke Kubur Kg Ara Panjang Pulai,
Manong, Kuala Kangsar.

Kubur yang hanya ditandai oleh dua batu nesan yang sudah lama, tetapi ianya tidak bertulis nama, namun waris terdekat menyatakan di situlah kubur Tok Gembira Kulop Lokeh. Hj Ahmad Kamal berkata, penemuan ini merupakan satu kejayaannya setelah menemui beberapa orang kampung di situ termasuk berjumpa dengan salah seorang waris terdekat dengan Kulop Lokeh yang tinggal di sana.

Beliau melahirkan kesyukuran di atas penemuan pusara ini dan mengharapkan selepas ini cucu cicit dan piut-piut yang lainnya dapat menziarahi pusara ini. Hj Ahmad Kamal juga berkata beliau akan mengusahakan supaya kubur lama ini dapat dibersihkan.

Hj Kamal menemui pusara
Tok Gembira Kulop Lokeh.

Datuk Gembira Kulop Lokeh bin Datuk Gembira Kulop Karim bin Imam Anjang ini merupakan Tok Mudim dan juga pegawai Istana Sultan Perak suatu ketika dahulu. Allahyarham Pandak Mohid merupakan anakanda kepada Kulop Lokeh. Pandak Mohid mempunyai 7 orang anak daripada dua isterinya. Anak bersama isteri pertamanya ialah Long Kamariah dan Ngah Mat Taib, manakala 5 lagi anak-anaknya adalah bersama isteri keduanya, Teh Tiah yang terdiri daripada Yeop Majlis, Ahmad Jerais, Khadijah, Mohd Saleh dan juga Abdul Halim.



Monday, October 29, 2018

PANDAK MOHID BIN TOK GEMBIRA KULOP LOKEH - LIMA ANAKNYA BERSAMA ISTERI KEDUA TEH TIAH

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pandak Mohid Bin Tok Gembira Kulop Lokeh mempunyai 7 orang anak daripada dua isterinya. Anak dengan isteri pertamanya seramai dua orang terdiri daripada Long Kamariah Bt Pandak Mohid dan Ngah Mat Taib bin Pandak Mohid, manakala anak daripada isteri keduanya Teh Tiah terdiri daripada lima orang, iaitu Haji Yeop Majlis bin Pandak Mohid, Ahmad Jerais bin Pandak Mohid, Khadijah bt Pandak Mohid, Mohd Saleh bin Pandak Mohid dan Abdul Halim bin Pandak Mohid.


Haji Yeop Majlis Pandak Mohid

Ahmad Jerais Pandak Mohid

Khadijah bt Pandak Mohid

Mohd Saleh Pandak Mohid

Abdul Halim Pandak Mohid



Tuesday, January 30, 2018

ALFATIHAH UNTUK MOHD ALI YEOP MAJLIS

Innalillahi Wainnailaihi Rojiun....ALFATIHAH.


29 Januari, 2018, kembalinya ke rahmatullah Mohd Ali Bin Yeop Majlis yang lahir pada 23 April, 1948, di Kampung Teluk Pedayung Lambor Kanan, Parit, Perak. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.20 tengahari di Hospital Kuala Lumpur dalam usianya mencecah 70 tahun. 

Arwah merupakan anak yang ke-12 kepada Allahyarham Tuan Hj Yeop Majlis dan bondanya Allahyarhamah Che' Mi Bt Abdul Rahman. Jenazah Allahyarham Mohd Ali Yeop Majlis telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Taman Selaseh, Kuala Lumpur kira-kira jam 6.00 petang, sejurus selepas jenazahnya disembahyangkan di Surau Al-Ikhwan, Taman Samudera di Batu Caves.

Sebelum itu jenazah arwah juga telah disolatkan di HKL sebelum dibawa ke Surau Al-Ikhwan.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan mendapat keampunan daripada Allah SWT serta di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin!

Solat jenazah di HKL

Jenazah di HKL

Kenangan semasa Himpunan Keluarga Yeop Majlis, 2002
Kenangan Himpunan Keluarga Yeop Majlis, 2002

Kenangan Himpunan Keluarga Yeop Majlis, 2002.








Friday, December 29, 2017

MEMOIR BURHANUDDIN YEOP MAJLIS

Oleh Abdul Rahman Hashim


Memoir Burhanuddin Yeop Majlis merupakan sebuah buku autobiografi yang mencatatkan suatu legasi kecemerlangan dalam dunia 'Nanoteknologi dan Semikonduktor' yang menjadi kebanggaan negara. Profesor Dato' Dr Burhanuddin Yeop Majlis merupakan tokoh teknokrat yang berjaya mencetuskan pembaharuan dalam dunia mikroelektronik di negara ini; beliau merupakan Pengarah Insitut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Burhanuddin Yeop Majlis dilahirkan pada 20 Ogos 1955, seorang anak jati kelahiran Kg Teluk Pedayong, Lambor Kanan, di Parit, Perak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lambor Kanan dan melanjutkan pelajarannya di peringkat menengah di SMK Dato' Abdul Rahman Yaakup (SMDARY), Bota Kanan sehingga ke tingkatan 5 sebelum melanjutkan pelajaran dalam tingkatan 6 di Sekolah Menengah Sri Perak, di Teluk Intan sehingga tahun 1974. 

Beliau melanjutkan pengajiannya di UKM pada tahun 1975 sehingga tamat pada tahun 1979 dengan memperolehi ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang fizik (elektronik). Beliau pernah menjadi tutor di unit elektronik, Fakulti Sains UKM; seterusnya berjaya pula memperolehi Msc dalam bidang mikroelektronik dari University of Wales pada tahun 1980. TIdak setakat itu sahaja, Dato' Dr Burhanuddin Yeop Majlis juga berjaya memperolehi PhD dalam bidang yang sama di University of Durham, UK dalam tahun 1988, setelah lima tahun bertugas sebagai pensyarah.





Keluarga Yeop Majlis berbangga dengan pencapaian yang diperolehi oleh Profesor Dato' Dr Burhanuddin Yeop Majlis. Kami mendoakan agar ilmu yang diperolehi ini akan dapat dimanfaatkan oleh anak bangsa demi masa depan #Negaraku.

Saturday, June 28, 2014

PROF DATO' DR BURHANUDDIN YEOP MAJLIS DILANTIK FELO AKADEMI SAINS MALAYSIA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Profesor Dato' Dr. Burhanuddin Yeop Majlis

Profesor Dato' Dr Burhanuddin Yeop Majlis merupakan di antara 21 orang tokoh sains negara yang diumumkan sebagai felo baharu Akademi Sains Malaysia pada mesyuarat agung tahunan ke-19 ASM yang diadakan pada Mei 2014 lepas.

Selain Dr Burhanuddin mereka juga termasuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Dr Yap Kok Seng, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim.

Tokoh lain yang turut diumumkan ialah Prof Dr Agamutu Pariatamby dari Universiti Malaya, Prof Dr Jinap Selamat, Prof Dr Shamshuddin Jusop dan Prof Dr Tan Soon Guan dari Universiti Putra Malaysia. Mereka dipilih sebagai felo kerana sumbangan cemerlang masing-masing dalam bidang biologi, sains pertanian dan alam sekitar di negara ini. 

Sementara itu Profesor Dato' Dr Burhanuddin Yeop Majlis yang juga Pengarah Institut Microengineering & Nanoelectronics (IMEN) dari UKM itu dilantik kerana menghargai sumbangannya dalam bidang Kejuruteraan dan Sains Komputer; manakala Prof Dr Abdul Rahman Mohamed, Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, Prof Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan Ir Lalchand Gulabrai pula dilantik kerana sumbangan mereka dalam bidang yang sama.

Kepada Profesor Dato' Dr Burhanuddin Yeop Majlis, kami seluruh warga 'Rumpun Yeop Majlis' mengucapkan tahniah dan syabas di atas pelantikan ini yang telah mengharumkan nama baik keluarga Yeop Majlis.